Back

Anak nakal, panjang akal apa perlu buat?

Posted by: Admin Mysejiran    Published at: 22/09/2022

KUALA LUMPUR: Institusi keluarga menjadi persekitaran pertama untuk anak dalam membentuk tingkah laku dan mencorakkan keperibadian yang sempurna apabila menjelang dewasa.

Pensyarah Kanan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM), Dr Norfaezah Md Khalid berkata keluarga atau penjaga memainkan peranan yang penting dalam apa juga keadaan.

Katanya, ibu bapa yang menurut kehendak anak atau tidak mahu mendengar tangisan berterusan akan membuatkan mereka lebih bersikap suka mengarah.

Malah, tindakan ibu bapa tidak konsisten mempamerkan emosi tertentu kepada anak-anak, misalnya berpura-pura memarahi anak dan kemudian kasihan, tertawa dan kembali memujuk bukan cara yang betul.

 

DISYORKAN UNTUK ANDA

Situasi itu menyebabkan anak keliru dengan pelbagai bentuk emosi dipamerkan ibu bapa kerana berfikir tindakan memarahi itu tidak serius dan hanya berjenaka.

 

"Segelintir ibu bapa atau orang dewasa sering membiarkan tingkah laku anak kerana beranggapan masih kecil dan kenakalan perkara normal golongan itu.

"Namun, tidak dinafikan anak 'nakal' atau banyak akal ini akan mempunyai lebih banyak pengalaman kerana mereka melalui dunia penerokaan dengan pelbagai percubaan dan belajar perkara baharu.

"Namun, sebagai ibu bapa harus memantau kerana kanak-kanak memerlukan bantuan orang dewasa untuk memandu tingkah laku mereka.

"Kanak-kanak dibiarkan meneroka dunia secara sendiri, bebas tanpa pemantauan ibu bapa, dibimbangi akan menerapkan pemikiran dan nilai dalam hidup yang tidak tepat.

"Wujud kemungkinan di mana kebiasaan tingkah laku diamalkan pada peringkat usia kanak-kanak akan dibawa sehingga kanak-kanak ini dewasa, boleh mempengaruhi perkembangan emosi dan personaliti mereka.

"Contohnya, kanak-kanak biasa memukul rakan semasa bermain atau di dalam kelas, tanpa ada bimbingan akan menyebabkan perbuatan itu sebati dalam dirinya.

"Paling dikhuatiri perbuatan itu akan mengarah anak menjadi pembuli apabila meningkat remaja dan dewasa," katanya.

Justeru, ibu bapa dan penjaga perlu berusaha memahami apakah yang sedang berlaku dalam peringkat usia anak-anak.

Kanak-kanak yang mempunyai ruang dan bimbingan yang secukupnya membolehkan mereka terus berkembang dengan baik dan pada masa sama bimbingan terhadap sikapnya.

Pada zaman teknologi serba canggih ini, ibu bapa dan golongan dewasa mudah mengakses pelbagai platform untuk mendapatkan maklumat keibubapaan.

"Jadi cari ilmu yang boleh dijadikan panduan mendidik dan membesarkan anak. Ibu bapa dan orang dewasa juga perlu memberi ruang mendengar suara hati mereka, peluang membuat pilihan dalam kehidupan dengan bimbingan," katanya.

Selain itu, didikan agama dan moral perlu menjadi asas kepada didikan anak bagi memberi asas yang kukuh memandu untuk masa depannya.

Beliau menegaskan, kesibukan ibu bapa mencari rezeki untuk keluarga dan masa terhad bukan alasan membiarkan anak lepas bebas, sebaliknya mencari kesempatan mengadakan aktiviti berkualiti bersama.

"Fasa ini amat penting dalam pembentukan identiti dan personaliti apabila seseorang membesar.

"Pengalaman dan didikan diperoleh pada peringkat ini boleh menjadi satu lukisan kehidupan yang akan dibawa sehingga anak membesar menjadi insan sempurna," katanya.

BH September 22, 2022 @ 11:57am

×

Shopping Cart

{{ item.name }}

{{ item.quantity }} x {{ item.attributes.friendly_price }}

Cart is empty! Subtotal: {{ totalPriceFormat }}