Back

32 Tempat Makan Menarik Di Gombak

Posted by: Admin Mysejiran    Published at: 25/06/2022

Gombak merupakan antara salah satu kawasan di Kuala Lumpur yang cukup terkenal dengan pelbagai jenis makanan. Cakap sahaja nak makan apa, daripada hidangan makanan melayu, makanan jepun,hidangan ala timur, hinggalah kepada makanan barat, anda pasti akan menemuinya di Gombak.

Bak kata orang, syurga makanan bagi mereka yang menggemari aktiviti jalan-jalan cari makan ini. Mari kami kongsikan antara tempat makan menarik di Gombak yang wajib dikunjungi sekiranya anda berada di kawasan ini.

32. Lepaking

Lepaking Gombak - Gambar Restoran

Sumber: Lepaking

Konsep tempat makan disini cukup menarik kerana bertemakan ala medan selera hipster yang menyajikan pelbagai jenis pilihan makanan dan minuman daripada yang ringan hinggalah kepada makanan berat.

Konsep yang cuba diketengahkan sememangnya bersesuaian dengan cara hidup masyarakat setempat yang gemarkan aktiviti makan sambil bersantai bersama keluarga dan rakan-rakan.

Tempatnya juga selesa dan disediakan pelbagai kemudahan seperti tandas dan surau yang bersih dan luas. Untuk menu hidangan pula, kebanyakan pelanggan mengesyorkan anda mencuba hidangan ala western mereka seperti lamb chop, pasta, chicken chop yang sedap dan murah selain hidangan panas seperti sizzling, masakan melayu seperti ayam penyet dan nasi dagang.

Lepaking Gombak - Gambar Makanan

Sumber: Lepaking

Tidak lupa juga snek ringan seperti makanan popular Vietnam iaitu Spring Roll dan Corndog cheese yang sedang viral sekarang. Bagi melengkapkan lagi hidangan, dessert disini juga tidak kurang hebatnya seperti waffles dan pelbagai minuman blenden hipster yang lain.

Anda juga akan dihiburkan dengan buskers mendendangkan lagu-lagu popular masa kini. Cepat singgah dan nikmati hidangan sedap disini ditemani suasana santai dan menyeronokkan.

Alamat: 3 1/2, Lot 8099, Jalan Gombak, Kampung Sungai Merali, 53000 Kuala Lumpur


31. Sushi King Express

Sushi-King-Express-Gombak-Gambar-Restoran

Sumber: Saeid Mezail

Ada sesiapa yang suka makan sushi? Makanlah puas-puas tanpa rasa bersalah di Sushi King Express. Terletak di Prima Seri Gombak, setiap sushi yang diambil di kedai ini hanyalah berharga serendah RM3 sahaja! Point tambahan untuk anda singgah ke kedai ini adalah kerana suasanya yang selesa dan waktu menunggu yang cukup pantas.

Sushi King Express Gombak Gambar Makanan

Sumber: Sushi King Express

Merancang untuk ke sini? Elakkan waktu kemuncak seperti lunch hour ataupun pada hujung minggu, bukan sikit peminat sushi RM3 ni. Untuk pengetahuan anda, cawangan lain Sushi King Express adalah di Golden Triangle (Bayan Lepas, Pulau Pinang). Bolehlah singgah mana-mana cawangan yang terdekat.

Alamat:  93A, Jalan Prima SG 3/2, Prima Seri Gombak, 68100 Batu Caves, Selangor


30. Restoran D’Laman

Restoran D’Laman Gombak Gambar Restoran

Sumber: Restoran D’Laman Cafe

Untuk yang mengidam nak makan nasi ayam penyet, anda pasti berpuas hati dengan kualiti hidangan menu ini di Restoran D’Laman. Keenakan nasi ayam penyet di restoran ini dikatakan antara yang paling sedap di Lembah Klang! Memang rugi tak cuba.

Restoran D’Laman Gombak Gambar Makanan

Sumber: Restoran D’Laman Cafe

Untuk nikmat yang menjilat jari, anda boleh tempah untuk makan nasi ayam penyet ini  bersama dengan ayam bakar berbanding ayam goreng.

Ayamnya dimasak dengan mendalam, cukup lembut di mana setiap gigitan penuh dengan rasa perapan yang mengiurkan dan diluarnya pula disaluti oleh sos yang enak. Nak tunggu apa lagi? Datang jangan tak datang!

Alamat: 43, Jalan Seri Setia, Gombak Setia, 53100 Kuala Lumpur, Selangor


29. Zazi’s Kitchen

Zazis Kitchen Gombak Gambar Restoran

Sumber: Zazi’s Kitchen

Nikmati hidangan di Zazi’s Kitchen  dalam keadaan yang sunyi dan tenang, di bawah angin sejuk pendingin udara. Keselesaan kafe dengan konsep hipster ini bertambah dengan penggunaan pencahayaan yang sedap dipandang mata.

Apa makanan yang nak dicuba? Macam-macam! Menyediakan hidangan tempatan dan juga barat, semuanya dihasilkan dengan penuh teliti untuk mendapatkan hasil yang terbaik rasanya.

Zazis Kitchen Gombak Gambar Makanan

Sumber: Zazi’s Kitchen

Antara masakan yang boleh dicuba adalah seperti daging tetel asam pedas, salad ayam, set asam pedas ikan pari, black pepper beef, steak, nasi goreng kampung, mee bandung, nasi lemak kukus dan banyak lagilah! Macam hampir semua menu boleh menjadi signature kedai ni sebab semuanya sedap. Tak percaya? Cuba sendiri.

Alamat: 53, Jalan SG 3/1, Pusat Bandar Sri Gombak, 68100 Batu Caves, Selangor


28. Lokal Resto

Lokal Resto Gombak Gambar Restoran

Sumber: Lokal Resto

Terletak hanyalah 10 minit dari Batu Caves dan 1 km berjalan kaki sahaja dari KTM Batu Caves, Lokal Resto adalah sebuah restoran selesa yang menjanjikan khidmat layanan pelanggan yang pasti membuatkan anda tersenyum. Namun yang penting sekali adalah rasa hidangannya yang sangat mantap.

Lokal Resto Gombak Gambar Makanan

Sumber: Lokal Resto

Kedai makan yang mula dibuka pada tahun 2018 ini menawarkan hidangan seperti ayam goreng bali, daging salai masak lemak, sup kambing, ayam berempah, nasi tilapia mantol dan macam-macam lagi. Kalau dah sampai kedai ni nanti, cuba dulu apa yang admin kongsikan di sini, pasti tak kecewa.

Alamat: Lot G6 Kompleks Amaniah, Jalan Batu Caves, 68100 Batu Caves, Selangor


27. Jibby East

Jibby East Gombak - Gambar Restoran

Sumber: Le。樂

Jenama Jibby bukan nama yang calang-calang dalam industri kulinari dan restoran di Malaysia. Malah, setiap cawangan Jibby mendapat sambutan hebat dari pelanggan dan para pengkritik makanan. Jibby East merupakan cawangan kumpulan kulinari ini yang terletak di KL East Gallery.

Membawa konsep warehouse yang sama seperti cawangan-cawangan mereka yang lain, Jibby East juga diberi sentuhan elegan dan maskulin sambil dikelilingi kehijauan. Cermin tinggi, floor to ceiling, membantu menaikkan lagi seri restoran ini dengan membawa pencahayaan natural dari luar.

Jibby East Gombak - Gambar Makanan

Sumber: Sabir Amin, Mambo Kuek, Siang Boon, Azelin Jamaludin

Menu mereka sangat menarik dan merupakan salah satu menu yang diverse dan inclusive. Dari makanan tempatan ke makanan western dan sewaktu dengannya, Jibby East tawarkan kesemuanya dengan citarasa dan penuh bergaya. Menu utama mereka merupakan masakan western seperti Australian grass-fed rib eye steak, Casablanca style slow cooked lamb ribs, Mexican seafood grill dan banyak lagi. Namun, mereka turut menyediakan aneka jenis pasta dan pizza.

Bagi mereka yang inginkan sesuatu yang lebih lokal, boleh cuba Jibby East Platter atau Spaghetti Goreng. Apa pun pilihan anda, pastikan anda lengkapkan meal anda dengan menikmati dessert mereka yang sama hebat.

Alamat: Sunway Montana, Sunway Montana (U/C), 53100 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur


26. Hotpot King Steamboat & Grill

Hotpot King Steamboat & Grill Gombak - Gambar Restoran

Sumber: rodiahamir

Makanan steamboat dan grill sering menjadi kegemaran rakyat Malaysia. Tidak kira bangsa dan umur, ramai menjadikan hidangan ini sebagai pilihan untuk menikmati sesuatu yang berbeza.

Kadang kala, makan nasi bersama lauk sama pon boleh rasa bosan, kan? Di waktu inilah anda perlu berkunjung ke Hotpot King Steamboat & Grill. Hotpot King yang terletak di Prima Sri Gombak merupakan sebuah restoran steamboat dan grill yang terkenal di kawasan ini.

Hotpot King Steamboat & Grill Gombak - Gambar Makanan

Sumber: adibsyahmi92

Bukan sahaja kedainya selesa dan santai, menu di sini sangat banyak. Dikira dan dihidang dalam bentuk buffet, anda boleh memilih dari pelbagai jenis protein, sayuran dan lain-lain untuk dimasak bersama.

Dengan pilihan kuah tomyam atau sup, anda boleh memilih untuk memasak protein dan sayuran tadi secara rebus ataupun dipanggang di grill. Selalunya ayam dan daging lebih sedap dipanggang kan? Anda juga diberi sos untuk dicolek dan dimakan bersama makanan anda tadi. Ada juga bihun dan mee yang boleh anda masak di dalam sup atau tomyam tadi sebagai pengganti nasi. Masak dan makan beramai-ramai, mesti best.

Alamat: 59, Jalan Prima SG 3/1, Prima Seri Gombak, 68100 Batu Caves, Selangor


25. Aliff Nasi Kukus

Pak Tam Sri Corner Gombak Gambar Restoran

Sumber: Aliff Nasi Kukus

Teringin makan nasi kukus yang dihidang dengan ayam berempah yang mengiurkan? Mai singgah makan di Aliff Nasi Kukus. Dari jauh lagi sudah terhidu aroma ayam berempahnya yang memanggil-manggil untuk dibeli.

Pak Tam Sri Corner Gombak Gambar Makanan

Sumber: Aliff Nasi Kukus

Terletak di Tapak Uptown Sri Gombak, ramai yang jatuh cinta dengan rasa nasi kukus gerai sempoi ini sehinggakan ramai yang sanggup beratur untuk membeli walaupun di bawah pancaran mentari. Kalau macam nilah gayanya, mesti kena cuba untuk tahu power sangat ke rasa nasi kukus ni.

Alamat: Uptown Sri Gombak, 68100, Batu Caves, Selangor


24. Pak Tam Sri Corner

Pak Tam Sri Corner Gombak Gambar Restoran

Sumber: Pak Tam Sri Corner

Pak Tam Sri Corner menawarkan pelbagai hidangan dalam harga bajet yang enak untuk dicuba. Hidangan yang ada terdiri daripada masakan Melayu dan juga barat.

Walaupun dalam lingkungan harga yang boleh dikatakan agak murah atau berpatutan, saiz hidangannya cukup mengenyangkan, sesuai sangatlah tu kalau datang dengan perut yang betul-betul lapar.

Pak Tam Sri Corner Gombak Gambar Makanan

Sumber: Pak Tam Sri Corner

Bercakap mengenai menu yang menjadi pilihan ramai, apa yang patut anda cuba adalah seperti char kuey teow, tom yam, sate dan nasi ayam special.

Kedai makan yang mula ditubuhkan pada tahun 1998 ini cukup mudah untuk ditemui kerana kedudukannya yang tidak jauh dari jalan yang menjadi laluan ramai. Tempat meletak kereta juga mudah untuk ditemui.

Alamat: Jalan Samudera Utama, Taman Samudra, 68100 Batu Caves, Selangor


23. Daily Burger

Daily Burger Gombak - Gambar Restoran

Sumber: Daily Burger

Hari-hari makan burger tak bosan ke? Tak bosan kalau anda beli burger dari Daily Burger. Boleh jadi ketagih nak makan setiap hari. Gerai burger legend ini telah wujud di Gombak dalam sekitar 20 tahun.

Betapa ramainya peminat burger gerai ini boleh terlihat jelas daripada kesanggupan orang ramai untuk beratur menunggu giliran burger untuk siap dimasak.

 

Burger yang terletak berhadapan dengan 7-Eleven ini walaupun cukup terkenal di seantero Gombak kerana kesedapannya tetap dijual dalam harga murah sepertimana gerai burger Ramly yang lain.

Daily Burger Gombak Gambar Makanan

Sumber: Daily Burger

Anggaran masa untuk menunggu burger siap adalah dalam sekitar 15 minit, percayalah, tak rugi tunggu sebab burger ni memang seperti yang diuar-uarkan, cukup juicy dan padat dengan rasa. Apa yang uniknya tentang burger di sini, ia dihidangkan bersama nenas yang manis dan juga sos yang secukup rasa.

Cetusan rasa yang dinikmati sebaik digigit tidak dapat dijelaskan dengan kata-kata. Selain burger biasa, mereka turut menawarkan burger rusa, burger kambing dan juga burger arnab, tepuk dada, tanya selera, apa yang jiwa rasa nak cuba?

Alamat: 3, Jalan SG 1/11, Taman Sri Gombak, 68100 Batu Caves, Selangor


22. Warung Tranung Kite

Warung Tranung Kite Gombak Gambar Restoran

Sumber: Warung Tranung Kite

Ada orang Terengganu di sini? Moh kite singgah ke Warung Tranung Kite untuk mengubat rindu kepada masakan asli Terengganu. Dihidangkan dalam saiz hidangan yang besar, caj yang dikenakan juga cukup berpatutan.

Antara hidangan yang menarik di sini adalah kari kepala ikan, nasi dagang, nasi minyak, nasi lemak, nasi campur dengan lauk ikan singgang, baung tempoyak dan sebagainya. Bukan itu sahaja, ada juga menu sotong dan ikan celup tepung yang cukup rangup dan sedap dicicah dengan sos yang disediakan.

Warung Tranung Kite Gambar Makanan

Sumber: Warung Tranung Kite

Selain ini semua, jangan lupa untuk cuba keropok lekor Terengganu yang diproseskan segar di restoran ini sendiri. Kualiti rasanya tak cukup satu, mesti rasa nak beli untuk sambung makan di rumah pula. Untuk melengkapkan hidangan, anda boleh menikmati semua ini dengan air kelapa segar atau coconut shake.

Alamat: No. 327, Jalan 6, Greenwood, 68100 Batu Caves, Selangor


21. Restoran Tuu Dok Ko 1488

Restoran Tuu Dok Ko 1488 Gombak - Gambar Restoran

Sumber: Abdul Fatah Fatihi

Ingin mencari menu hidangan Kelantan yang sedap dengan harga berpatutan? Anda wajib singgah di restoran ini yang sememangnya cukup terkenal dan sentiasa penuh dengan kunjungan pelanggan setianya yang tidak putus-putus memberikan sokongan terhadap makanan mereka.

Restoran Tuu Dok Ko 1488 Gombak - Gambar Makanan

Sumber: Restoran Tuu Dok Ko 1488

Manakan tidak, nasi kerabu, laksam dan nasi berlauk  disini antara yang terbaik mengikut pandangan penduduk setempat. Selain itu, restoran ini turut menjual roti canai, nasi lemak, makanan goreng seperti kuey teow, mee dan bihun serta pelbagai jenis kuih-muih melayu. Pilih saja mana-mana yang menepati selera anda, dijamin sedap.

Alamat: Jalan Samudera Utara 2, Taman Samudra, 68100 Batu Caves, Selangor


20. Nasi Lemak Ujang Corner

Nasi Lemak Ujang Corner - Gambar Restoran

Sumber: Nazlinda Sabarudin

Siapa yang tidak kenal dengan nasi lemak legend kegemaran rakyat Malaysia ini? Nasi Lemak Ujang yang telah beroperasi sejak tahun 1984 ini tentunya antara restoran wajib singgah anda di daerah Gombak.

Menyediakan nasi lemak tradisi hasil air tangan keluarga sejak turun-temurun, anda boleh memilih untuk makan dengan pelbagai jenis lauk-pauk yang disediakan.

Nasi Lemak Ujang Corner - Gambar Makanan

Sumber: Nasi Lemak Ujang Corner

Antara yang sering menjadi pilihan tentunya nasi lemak sambal kerang yang dimasak bersama isi kerang yang besar dan sambal yang secukup rasa. Selain itu, sambal sotong, ayam goreng panas, ikan keli sambal, rendang, paru sambal turut laku keras di sini. Tentu rambang mata dibuatnya.

Alamat: Gerai MPS, No.1 Gerai Taman Greenwood, Jalan Batu Caves, Taman Greenwood, 68100 Batu Caves. Selangor.


19. House of Nasi Kerabu (HONK)

House of Nasi Kerabu (HONK) - Gambar Restoran

Sumber: House of Nasi Kerabu (HONK)

Ini berita baik untuk anda yang sememangnya penggemar masakan asli selera pantai timur terutamanya hidangan nasi kerabu. Nasi Kerabu disini dikatakan antara yang terbaik dan masakannya cukup asli setanding dengan apa yang dijual di Kelantan.

Kalau anda berkunjung ke sini, anda disyorkan untuk mencuba nasi kerabu tumis dan nasi kerabu Nara yang dihidangan bersama lauk sama ada lamb chop, ayam/daging bakar atau ayam percik. Sambal nasi kerabunya yang secukup rasa pedasnya dan sedikit manis sememangnya menjadi signature restoran ini.

House of Nasi Kerabu (HONK) - Gambar Makanan

Sumber: House of Nasi Kerabu (HONK)

Bukan sahaja selera pantai timur menjadi kepakaran mereka, nasi dagang bersama gulai ayam atau daging, masakan panas ala Thai serta hidangan barat turut dijual disini. Hidangan hipster seperti Corn Dog, Chicken Wrapping, Cheesy Chicken &Korean Chicken, Cheesy Chicken Burger antara menu yang wajib anda pesan. Rugi kalau tak cuba!

Alamat: Taman Seri Gombak, 68100 Batu Caves, Selangor


18. Restoran Kari Kepala Ikan SG

Restoran Kari Kepala Ikan - Gambar Restoran

Sumber: Restoran Kari Kepala Ikan SG

Kalau tadi berbicara tentang selera pantai timur, ini pula restoran yang menghidangkan selera utara yang sememangnya memikat selera. Kari Kepala Ikan disini cukup terkenal dengan kesedapannya sehingga menjilat jari. Kuah karinya dimasak pekat, dihidangkan bersama kepala ikan yang bersaiz besar dan berisi lembut.

Restoran Kari Kepala Ikan - Gambar Makanan

Sumber: Restoran Kari Kepala Ikan SG

Anda juga perlu mencuba hidangan favorite pelanggan yang lain ialah seperti otak-otak, sambal udang petai, kari sotong dan ayam pandan mereka yang lain daripada kebiasaan. Pasti lengkap hidangan makan tengahari anda dimakan bersama nasi putih panas.

Alamat: 10-12, Jalan SG 1/8, Taman Sri Gombak, 68100 Batu Caves, Selangor


17. Pak Uda Kitchen & Grill

Pak Uda Kitchen & Grill - Gambar Restoran

Sumber: Pak Uda Kitchen & Grill

Anda mengidam makanan ala barat dengan harga yang berpatutan dan penuh dengan pilihan? Singgahlah di Pak Uda Kitchen & Grill ini yang sememangnya dapat memenuhi selera masakan barat anda.

Uniknya restoran ini kerana menu yang disajikan dinamakan bersempena dengan nama selebriti Hollywood ala tahun 70-90an bersesuaian dengan konsep restorannya yang klasik ala moden.

Contohnya seperti Madonna Cheesy Chicken Chop dan Bon Jovi Salmon Fish. Dengar namanya saja sudah terliur bukan? Menu hidangan lain yang boleh anda cuba ialah seperti pelbagai masakan pasta, lamb chop dan signature snek mereka iaitu Pak Uda Special Nachos Snek.

Pak Uda Kitchen & Grill - Gambar Makanan

Sumber: Pak Uda Kitchen & Grill

Bagi anda yang ingin menyambut hari istimewa bersama yang tersayang dan ahli keluarga, restoran ini turut menyediakan perkhidmatan pelbagai jenis majlis keraian bersama hiasan dan makanan enak dengan harga yang cukup berpatutan.

Alamat: No. 13-G, Jalan PPS 1, Pusat Perdagangan Selaseh, 68100 Batu Caves


16. Maggi Ketam Bistro Taman Batu Muda

Megi Ketam Bistro Taman Batu Muda - Gambar Restoran

Sumber: Megi Ketam Bistro Taman Batu Muda

Restoran yang menyajikan masakan maggi ketam di sini pastinya menjanjikan kelainan buat anda.

Pelbagai jenis hidangan maggi ketam yang sedap dan segar disajikan daripada Megi Ketam Nipah, Megi Ketam Laut, Megi Ketam Seafood, Megi Ketam, Megi Ketam Scallop, Megi Ketam Sotong dan bermacam lagi dengan harga mampu milik serendah RM7 hinggalah RM55 bergantung pada menu ketam yang anda pesan.

Megi Ketam Bistro Taman Batu Muda - Gambar Makanan

Sumber: Megi Ketam Bistro Taman Batu Muda

Kalau inginkan sesuatu untuk dikongsi bersama dan mengenyangkan, boleh cuba hidangan Shell Out berlada atau buttermilk mereka yang sedang viral.

Pada waktu tengahari, jika anda rindukan masakan air tangan ibu, hidangan nasi campur bersama lauk pauk kampung dimasak asli dengan resipi tradisi juga turut dihidangkan disini.

Tidak hairanlah jika restoran ini juga terkenal dan sering dikunjungi oleh ramai selebriti tempatan kerana makanannya yang sedap dan berkualiti. Anda juga jangan ketinggalan untuk merasainya sendiri!

Alamat: 143, Jalan 28/10a, Taman Perindustrian Iks, Taman Batu Muda, 68100 Batu Caves, Selangor


15. Mee Tarik Warisan Asli

Mee Tarik Asli Warisan Gombak - Gambar Restoran

Sumber: Mee Tarik Warisan Asli Gombak

Mee Tarik merupakan hidangan masakan Chinese-muslim yang cukup popular dan sering menjadi kegemaran masyarakat tempatan masa kini.

Istimewanya Mee Tarik ini adalah mee tersebut dibuat sendiri oleh mereka yang pakar dan berpengalaman dengan campuran resipi asli dan teknik yang betul.

Mee Tarik Asli Warisan Gombak - Gambar Makanan

Sumber: Mee Tarik Warisan Asli Gombak

Ini membuatkan hidangan mee Tarik yang anda pesan lembut, kenyal dan sedap dimakan. Menu mee Tarik sering dihidangkan sama ada berkuah atau goreng bersama sos cilinya yang asli dan menyelerakan.

Hidanga nasi bersama lauk masakan ala Chinese-muslim dan dumpling juga turut disyorkan untuk anda mencubanya disini. Apa yang lebih menarik, saiz hidangan disini besar bersesuaian dengan harganya yang berpatutan. Pasti sedap dan mengenyangkan!

Alamat: No G, 77, Jalan Prima SG 3, Prima Seri Gombak, 68100 Batu Caves, Selangor


14. Restoran Hot Pot King

Restoran Hot Pot King - Gambar Restoran

Sumber: Restoran Hot Pot King

Buat anda yang sukakan masakan panas ala steamboat dan grill, silalah berkunjung ke restoran hot pot king ini. Menariknya disini, bermula dengan harga RM29.80 bagi dewasa, anda boleh makan sepuasnya dengan pilihan lebih 100 jenis bahan-bahan steamboat yang segar.

Kuah steambotnya yang boleh dimasak secara claypot sama ada pilihan kuah sup ayam atau tomyam, pasti membangkitkan selera anda.

 

Begitu juga dengan bahan masakan grill, yang wajib anda cuba ialah 12 jenis daging perap yang menggunakan sos istimewa mereka dan yang paling popular tentunya signature mutton atau ayam/daging teriyaki.

Restoran Hot Pot King - Gambar Makanan

Sumber: Restoran Hot Pot King

Suasana restorannya juga bersih dan kemas pasti memberikan keselesaan kepada anda untuk menikmati hidangan lazat bersama yang tersayang.

Alamat: 59, Jalan Prima SG 3/1, Prima Seri Gombak, 68100 Batu Caves, Selangor


13. The Rack Boutique Café

The Rack Boutique Café - Gambar Restoran

Sumber: Asif Dar

Memang akan puas hati dan mengenyangkan jika anda berkunjung kesini untuk merasai sendiri keenakan masakan ala-ala Barat fushion.

Bukan sahaja hidangan barat yang popular seperti chicken chop, pasta dan masakan steak yang power, masakan ala korea yang viral sekarang ini juga turut disajikan buat pelanggan setia mereka.

The Rack Boutique Café - Gambar Makanan

Sumber: The Rack Boutique Café

Anda disyorkan untuk mencuba Talam Ramen, Monster Platter dan Cheesy Chicken Korean yang bersaiz besar dengan harga yang cukup berpatutan. Selain itu, pelbagai jenis minuman hipster daripada jus hinggalah kepada minuman coffee dan chocolate blended juga turut dijual sebagai pelengkap hidangan anda.

Pasti pengalaman menjamu selera yang cukup berbaloi untuk dirasai bersama keluarga ataupun rakan-rakan.

Alamat: 1, Jalan Os 1/4, One Selayang, 68100 Batu Caves, Selangor


12. Golek-Golek Suasana Kampung

Golek Golek Suasana Kampung - Gambar Restoran

Sumber: Golek-Golek Suasana Kampung

Kalau anda nak merasai makan di dalam suasana kampung yang cukup tradisional di tengah-tengah bandar kotaraya Kuala Lumpur ini, memang ini pilihan tempat makan yang tepat.

Sememangnya restoran ini cukup unik dan klasik dengan hiasan rumah kayu tradisional Melaka bertemankan suasana hutan cukup mendamaikan buat anda yang sedang menjamu selera. Menu yang disajikan disini pula bertemakan masakan melayu, cina dan masakan Barat.

 

Antara yang popular disini ialah seperti ikan bakar sambal petai, ikan sebelah nabi, udang galah gulai lemak, keli salai, masakan sotong, lala, ketam, dan kerang.

Golek Golek Suasana Kampung - Gambar Makanan

Sumber: Golek-Golek Suasana Kampung

Bagi anda yang datang secara berkumpulan, pilihan set hidangan untuk 4-6 orang turut disediakan bagi membolehkan anda untuk menikmati pelbagai hidangan lazat sambil berjimat. Memang rugi kalau anda tidak singgah disini untuk merasai keenakan masakannya selain merasai suasana restoran yang luar biasa.

Alamat: Lot 2074, Lingkaran Tengah 2, KM10, Gombak, Selangor.


11. Ayam Gepuk Pak Gembus Gombak

Ayam Gepuk Pak Gembus Gombak - Gambar Restoran

Sumber: Ayam Gepuk Pak Gembus Gombak

Masakan pedas cukup terkenal dan sinonim dengan masyarakat tempatan pada masa kini. Tidak hairanlah jika restoran ini menjadi viral dan popular dengan hidangan Ayam Gepuknya yang pedas dan cukup menyelerakan.

Menu disini cukup ringkas iaitu nasi panas dihidangkan bersama ayam goreng panas yang diketuk dan dilumur bersama sambal pedas istimewa campuran cili padi Vietnam dan cili padi kampung digiling secara tradisional. Selain itu, sebagai pelengkap hidangan, anda akan disajikan bersama tempe dan tauhu goreng dan campuran sayur.

Ayam Gepuk Pak Gembus Gombak - Gambar Makanan

Sumber: Ayam Gepuk Pak Gembus Gombak

Menariknya disini, anda boleh tentukan sendiri tahap kepedasan ayam gepuk yang anda inginkan. Sememangnya suatu pengalaman yang cukup menarik untuk dicuba!

Alamat: Lot 481, LBKL 130, Jalan Gombak, Batu 5, 53000 Kuala Lumpur


10. Sudu & Knife

Sudu & Knife - Gambar Restoran

Sumber: Sudu & Knife

Restoran ini sudah beroperasi lama bermula daripada pasangan suami isteri, Kak Maria dan suaminya sehinggalah kepada anak mereka yang mengambil alih restoran tersebut pada masa kini.

Namun, bagi mengekalkan keaslian rasa dan masakan di restoran ini, Kak Maria masih menjadi ketua tukang masaknya disini. Sudu & Knife menjanjikan pelbagai hidangan istimewa ala barat bersaiz besar dan masakan tempatan dengan harga yang cukup berpatutan.

Sudu & Knife - Gambar Makanan

Sumber: Sudu & Knife

Jadi tidak hairanlah jika pelanggan tidak henti-henti berkunjung menikmati makanan enak disini. Daripada variasi masakan  ayam, daging, ikan, pasta, burger hinggalah kepada dessert, segalanya dijamin sedap dan lazat.

Pelbagai lauk masakan melayu seperti ikan keli sambal dan gulai lemak juga turut menjadi menu yang disyorkan untuk anda mencubanya. Tentu puas hati dan seronok menjamu selera ditemani persekitaran restoran yang bersih dan kemas.

Alamat: 63, Jalan SG 3/10, Taman Sri Gombak, 68100 Batu Caves, Selangor


9. Kantin Setor Gombak

Kantin Setor Gombak - Gambar Restoran

Sumber: Kantin setor gombak

Satu lagi tempat hipster lepak yang cukup santai dan menarik untuk anda terjah sekiranya berada di sekitar kawasan Gombak ini ialah di Kantin Setor Gombak.

Sambil meluangkan masa, berborak bersama keluarga dan rakan-rakan, anda bolehlah cuba pelbagai jenis hidangan yang dijual secara stall disini.

Kantin Setor Gombak - Gambar Makanan

Sumber: Kantin setor gombak

Pilih saja mahukan masakan barat, hidangan panas ala-Thai atau makanan melayu tempatan, semuanya ada.

Untuk mereka yang sekadar ingin mengalas perut dengan sesuatu yang ringan, anda boleh memesan hidangan dessert yang hipster dan kreatif. Cepat singgah dan rasai sendiri pengalaman bersantai sambil menjamu selera disini. Macam-macam ada!

Alamat: 4 ½, Kantin SG, Batu, Jalan Gombak, 53000 Kuala Lumpur


8. Banana Café

Banana Cafe - Gambar Restoran

Sumber: Sea Slow

Restoran ini sesuai buat anda yang menggemari masakan ala Thai yang authentic. Makanan disini dikatakan antara yang terbaik dan anda pasti akan kembali lagi mengunjugi restoran ini setelah pertama kali mencubanya.

Menu yang sering menjadi kegemaran pelanggan yang wajib anda cuba ialah seperti ikan siakapnya yang segar dan besar, dimasak pelbagai jenis lauk  seperti goreng herbal, keng som, 3 rasa, larb pla, masak sambal petai dan banyak lagi.

Banana Cafe - Gambar Makanan

Sumber: Banana Cafe

Tidak ketinggalan, hidangan shabu-shabu seakan steamboat dan shell out  juga turut dijual disini.  Anda juga pasti berpuas hati konsep persekitarannya yang bersih dan teratur. Pasti seronok berkongsi hidangan dan menjamu selera bersama ahli keluarga.

Alamat: 46, Jalan SG 8/1, Taman Sri Gombak, 68100 Batu Caves, Selangor


7. Wira Seafood @Taman Sri Gombak

Wira Seafood Gombak - Gambar Restoran

Sumber: Wira Seafood @ Taman Seri Gombak

Jika anda mengidam sesuatu yang berat dan mengenyangkan buat hidangan makan malam, berkunjunglah di Wira Seafood ini yang menjanjikan masakan ala Thai dan Barat yang cukup menyelerakan.

Anda boleh memesan hidangan popular disini seperti siakap masak stim, udang sambal petai, sotong goreng tepung dan kerang bakar yang pastinya dimasak segar dengan harga yang berpatutan.

Wira Seafood Gombak - Gambar Makanan

Sumber: Wira Seafood @ Taman Seri Gombak

Tidak ketinggalan, anda perlu memesan masakan tomyam mereka yang authentic dan power, tentu berselera makan bersama nasi putih panas-panas ditemani suasana makan malam yang santai bersama yang tersayang.

Bagi pembuka selera dan pemanis mulut, anda boleh memesan keropok lekor atau ABC sebagai pelengkap hidangan anda.

Alamat: Jalan SG 1/0, Batu Caves, 68100, Gombak, Selangor, 68100 Gombak


6. Code: Black Espresso

Code Black Espresso - Gambar Restoran

Sumber: Code:Black Espresso

Melangkah masuk ke dalam kafe ini, aroma secawan kopi dan pastry pasti memikat selera anda. Suasana kafenya juga cukup elegan dan moden bertemakan hiasan hitam-kelabu menjanjikan anda persekitaran yang tenang sesuai untuk merehatkan diri daripada hiruk-piruk kota buat seketika.

Sambil berehat, anda boleh menikmati minuman coffee brew, teh atau jus yang menjadi kepakaran kafe ini. Signature mereka tentunya Espresso dan Latte yang power dan authentic.

Code Black Espresso - Gambar Makanan

Sumber: Code:Black Espresso

Hidangan pastry dan dessert disini seperti Burnt Cheesecake, Tiramisu, Cinnamon Roll dan variasi jenis kek dan manisan tentu tidak mengecewakan anda.

Jangan lepaskan peluang untuk berkunjung dan merasai sendiri keenakan hidangan coffee dan pastry yang tentunya mempunyai keistimewaannya yang tersendiri.

Alamat: B-G-9, Emerald Avenue, Jalan PS 11, Selayang – Kepong Highway, Prima Selayang, 68100 Batu Caves, Selangor


5. Ayam Penyet Surabaya

Ayam Penyet Surabaya - Gambar Restoran

Sumber: Ayam Penyet Surubaya

Ayam Penyet disini tentunya lain daripada yang lain, berbeza daripada apa yang anda selalu cuba di sekitar Kuala Lumpur. Istimewanya terletak pada sambal penyetnya yang resipi  didatangkan khas dari tradisi masakan asli Surabaya yang sememangnya tersendiri.

Ayam Penyet Surabaya - Gambar Makanan

Sumber: Ayam Penyet Surubaya

Disini, anda boleh memesan hidangan ayam/ikan keli/ bebek/ gurame penyet atau goreng dan ayam bakar, yang menjadi kepakaran mereka.

Hidangan sampingan lain turut dijual bagi memenuhi citarasa anda seperti mee goreng seafood, nasi goreng dan lauk pauk masakan tradisi antaranya terung berlado, gado-gado dan tumis kalian atau kangkong. Dijamin puas dan menyelerakan!

Alamat: 27, Jalan SG 3/19, Taman Sri Gombak, 68100 Batu Caves, Selangor


4. Warung Puteri Taman Sri Gombak

Warung Puteri Taman Sri Gombak - Gambar Restoran

Sumber: Warung Puteri Taman Sri Gombak

Warung Puteri ini amat peka dalam menghasilkan gulai yang secukup rasa, sedap dan dijamin berkualiti kepada pelanggannya. Tidak hairanlah jika warung puteri ini sering menjadi pilihan penduduk sekitar juga dari luar yang datang terutama pada waktu makan tengahari untuk merasai sendiri keenakan nasi kak wok, nasi berlauk dan nasi lemak yang menjadi kegemaran ramai.

Warung Puteri Taman Sri Gombak - Gambar Makanan

Sumber: Warung Puteri Taman Sri Gombak

Hidangan Nasi Kak Wok terutamanya cukup ringkas saja, iaitu nasi putih bersama ayam goreng kunyit yang digoreng padu, dan sambal cili, namun apa yang cukup istimewa tentulah gulainya yang berkualiti resipi warisan turun-temurun.

Saiz hidangan nasinya besar dan dijual pada harga yang murah. Sebagai pelengkap hidangan anda, minuman teh ais madu mereka memang power dan wajib cuba. Memang berbaloi dan rugi kalau tak singgah disini!

Alamat: No 73, Jalan SG 3/10, Taman Sri Gombak, 68100 Batu Caves, Selangor


3. Qasar Balqis Restaurant

Qasar Balqis Restaurant - Gambar Restoran

Sumber: Qasar Balqis Restaurant

Kepakaran mereka tentunya hidangan masakan Yaman dan Arab yang sudah lama mendapat tempat di hati rakyat Malaysia.

Orang kita sememangnya cukup menggemari hidangan arab dan salah satu restoran yang terbaik untuk dikunjungi di sekitar Gombak ialah di Qasar Balqis Restaurant ini.

Menu pilihan disini tentunya Kabsa, Mandy, Haneeth atau Madghout. Yang istimewanya, anda disyorkan untuk berkongsi bersama dengan yang tersayang hidangan Mixed Grill Qasar Balqis yang terdiri daripada fries, kambing, ayam dan daging diperap khas dan dipanggang sempurna dihidangkan bersama garlic sauce dan cili.

Qasar Balqis Restaurant - Gambar Makanan

Sumber: Qasar Balqis Restaurant

Selain itu, disini juga disediakan masakan panas sizzling seperti fried lamb liver, oqda lamb/chicken yang tentunya lain daripada kebiasaan. Konsep restorannya juga cukup luas dan teratur, menjadikan suasana makan anda selesa dan menyeronokkan.

Alamat: No. 2, Medan Idaman, Jalan Jernai 4, Setapak, 53100 Kuala Lumpur


2. Restoran Taj Hadramawt @ Melati Utama

Restaurant Taj Hadramawt @ Melati Utama - Gambar Restoran

Sumber: Restaurant Taj Hadramawt @ Melati Utama

Restoran ini sememangnya cukup terkenal di dalam menyajikan hidangan masakan arab terbaik. Buktinya, terdapat banyak cawangan telah dibuka disekitar Kuala Lumpur, Selangor malah terdapat juga diluar negeri di sekitar Malaysia.

Jadi untuk anda penggemar masakan arab, singgahlah disini untuk merasai keenakan nasi arabnya yang tersendiri. Bagi yang sukakan hidangan yang lebih santai, anda boleh cuba kebab atau shawarma mereka sama ada daging, ayam atau kambing yang dipanggang sempurna, seterusnya dibungkus bersama campuran fries, sayur dan sos istimewa mereka.

Restaurant Taj Hadramawt @ Melati Utama1 - Gambar Makanan

Sumber: Restaurant Taj Hadramawt @ Melati Utama

Nampak ringkas tetapi cukup mengenyangkan dan lazat. Selain itu, Arabian Tea disini juga sering menjadi pilihan sebagai pelengkap selera untuk dimakan bersama nasi atau roti arab. Cukup berbaloi terutamanya bagi mereka yang mempunyai keluarga yang besar.

Alamat: No. 45G, Jalan Melati Utama 4, Taman, Persekutuan, Melati Utama, 53100 Kuala Lumpur


1. Nippon Sushi Malaysia (Nippon Sushi Prima Samudra Gombak)

Nippon Sushi Malaysia - Gambar Restoran

Sumber: fakhrul razi

Selain makanan korea, masakan Jepun juga semakin popular dan mendapat tempat di hati rakyat Malaysia.

Jadi, pemiliknya, instafamous Khairul Aming mengambil peluang ini untuk memperkenalkan masakan Jepun terutamanya hidangan Sushi yang authentic, lebih santai dan pastinya dengan harga yang lebih berpatutan kepada kita semua.

Nippon Sushi Malaysia - Gambar Makanan

Sumber: Nippon Sushi Malaysia

Sejak restoran ini ditubuhkan, memang tidak putus-putus pelanggan mengunjunginya terutamanya pada waktu hujung minggu. Selain daripada variasi hidangan sushi yang popular disajikan, terdapat juga menu lain seperti Teriyaki, Shimeji Niku, Soft Crab Omelette Pancake dan pelbagai lagi yang boleh anda bagi mendapatkan kelainan. Semua hidangan dijamin sedap dan halal. Rugi kalau tak cuba!

Alamat: 16 Jalan Samudera Utara 11, Prima Samudera, Taman Samudera


Sememangnya kawasan di sekitar daerah Gombak ini menjanjikan variasi pilihan tempat makan menarik yang wajib anda kunjungi bagi memenuhi citarasa dan selera anda.

×

Shopping Cart

{{ item.name }}

{{ item.quantity }} x {{ item.attributes.friendly_price }}

Cart is empty! Subtotal: {{ totalPriceFormat }}